Selasa, Julai 21, 2015

GOTONG-ROYONG "SAYANGI SEKOLAH ANDA" 2015




Tanggal 1 Jun 2015 yang lalu, Jawatankuasa Kebersihan dan Keceriaan (2K) Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir di bawah unit Hal Ehwal Murid (HEM) telah mengadakan satu program gotong-royong perdana untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan persekitaran sekolah. Dengan tema “Sayangi Sekolah Anda”, program yang dijadualkan berlangsung bermula jam 8.00 pagi dihadiri kira-kira 50 orang guru dan 100 orang murid. 

            Program ini julung-julung kali diadakan pada tahun ini adalah bermatlamat untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif untuk proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP). Selain itu, secara tidak langsung, program ini turut memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan warga sekolah serta menjadikan amalan kebersihan sebagai budaya hidup sihat. Malahan, persekitaran sekolah yang ceria turut berperanan dalam membentuk peribadi murid sebagai agen perubahan terhadap pembiakan nyanyuk Aedes.

            Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah membersihkan longkang, tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes, menanam pokok-pokok bunga, dan mengecat tiang-tiang di beberapa bahagian yang ditetapkan. Program yang mendapat sokongan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditamatkan pada jam 12.00 tengah hari.